Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, berkata pelbagai pakej pelancongan berpotensi diperkenalkan seperti pelancongan pelajaran, sejarah dan ilmu berkaitan Perak Man yang terletak di daerah Lenggong.
“Pakej pelancongan di Kuala Kangsar boleh digabungkan dengan pakej Perak Man agar pelancong dapat berada di sini dalam tempoh antara dua hingga tiga hari, bukannya sekadar dua atau tiga jam sahaja.
“Apabila semakin ramai pelancong berkunjung, maka ia secara tidak langsung memberi manfaat kepada ekonomi rakyat Kuala Kangsar itu sendiri,” katanya kepada Peraktoday.com, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pelantikan anak jati Kuala Kangsar, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang baru akan turut memberi impak positif kepada perkembangan industri pelancongan di kawasan berkenaan.
Ini kerana katanya, menteri berkenaan yang juga merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas cukup arif dengan potensi dan produk pelancongan di Kuala Kangsar yang boleh diketengahkan.
“Kita juga berharap agar pihak kementerian dapat menyalurkan peruntukan yang lebih besar untuk membangunkan industri pelancongan di bandar diraja ini,” tegas Wan Mohammad Khairul Anuar lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga katanya, akan berusaha bersama dua lagi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong dan Bukit Chandan untuk menyegerakan kelulusan projek pembangunan yang tertangguh di Kuala kangsar.
Menekankan dua aspek utama iaitu pembangunan fizikal dan insan, Mohammad Wan Khairil Anuar memaklumkan pihaknya juga ingin mempromosikan bidang kemahiran tinggi kepada golongan belia tempatan.
Jelasnya, bidang kemahiran sering disalah anggap tidak popular tetapi hakikatnya permintaan terhadap keperluan tenaga kerja mahir sangat tinggi.
“Latihan kemahiran ini disediakan kolej komuniti dan sekolah teknikal yang menawarkan pelbagai bidang kemahiran untuk diterokai seperti pembinaan dan penyediaan kek dan roti,” katanya lagi.
Selain sokongan wakil rakyat, ibu bapa juga katanya, boleh membantu dengan mengubah persepsi tradisional anak yang sering menganggap bidang kemahiran tiada masa depan yang cerah.
Dalam perkembangan berkaitan, pembukaan tanah baru untuk projek perumahan, industri kecil dan pertanian juga sedang giat dirancang meskipun berhadapan masalah tanah yang agak terhad di Kuala Kangsar.
Permintaan terhadap rumah mampu milik di Kuala Kangsar katanya, begitu mendesak sedangkan harga rumah semakin meningkat saban tahun.
“Sekiranya ada kawasan baru yang bersesuaian untuk projek rumah mampu milik ini, maka kita akan diusulkan kepada pihak yang berkenaan,” tegas beliau lagi.
KREDIT TO The Portal Perak Today
No comments:
Post a Comment